
KUALA LUMPUR : Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, berkuat kuasa Sabtu ini.
Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa yang mana pelantikan tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selaras dengan Subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Beliau menyatakan keyakinan Fadlun akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat.
Kepimpinan baharu itu juga diharapkan dapat memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur kekal maju sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan berpaksikan nilai.
“Saya yakin dengan pelantikan ini, beliau akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di DBKL dengan penuh integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat.,” katanya dalam kenyataan.
Fadlun, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.
Dalam tempoh menyandang jawatan Presiden PPj sejak 2022, Fadlun telah menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dalam memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip inklusiviti dan kelestarian.
Sementara itu, Petronas melantik bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif sebagai Penasihat Hartanah berkuat kuasa 17 November ini.
Dalam satu kenyataan, Petronas memberitahu pelantikan tokoh perancang bandar bertaraf antarabangsa itu dijangka mengukuhkan strategi pembangunan hartanah PETRONAS, khususnya membabitkan pembangunan di kawasan Sungai Besi, projek Kota Madani serta beberapa projek strategik lain dalam portfolio syarikat minyak dan gas negara tersebut.
“Maimunah akan memainkan peranan penting dalam membimbing dan merangka strategi pertumbuhan fasa seterusnya bagi portfolio hartanah Petronas.
“Kepakaran teras beliau selama lebih 40 tahun adalah dalam bidang pembangunan bandar mapan,” kata kenyataan itu.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Datuk Bandar Pulau Pinang, selain menjadi presiden wanita pertama Majlis Perbandaran Seberang Perai.







