
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa siasatan semula terhadap kehilangan aktivis Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh akan dijalankan secara telus, bebas serta tanpa sebarang campur tangan pihak tertentu bagi memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, kerajaan tidak berhasrat melindungi mana-mana pihak, sebaliknya komited melaksanakan sepenuhnya arahan mahkamah untuk membuka semula siasatan berkenaan.
“Kerajaan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan beriltizam mencari kebenaran serta menegakkan keadilan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan pasukan penyiasat baharu, diketuai seorang pegawai berpangkat Asisten Komisioner.
“Walaupun siasatan terdahulu tidak pernah ditutup, pasukan kali ini akan memberi tumpuan khusus bagi memastikan semua aspek yang relevan diteliti secara menyeluruh,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang bertanyakan keputusan mahkamah berkaitan Amri dan Raymond Koh serta langkah seterusnya yang akan diambil kerajaan, khususnya menyentuh prosedur operasi standard (SOP) dan kewibawaan siasatan PDRM memandangkan badan itu mewarisi sejarah yang panjang dan rekod cemerlang sebagai agensi penguat kuasa terbesar negara.
Dalam pada itu, Pasukan penyiasat akan meneliti semula semua kertas siasatan terdahulu, termasuk laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan laporan pasukan petugas khas, selain mendapatkan keterangan baharu bagi melengkapkan siasatan.
Kerajaan turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes kehilangan Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh supaya tampil membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses siasatan tersebut.
Amri, pengasas Persatuan Perlis Hope, dilaporkan hilang pada 24 November 2016, manakala paderi Raymond Koh dilaporkan hilang pada 13 Februari 2017.
Sementara Pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi berjumlah RM3.3 juta berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin, serta lebih RM37 juta kepada isteri Raymond Koh, Susanna Liew, selepas mendapati polis gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap kehilangan kedua-dua individu berkenaan.
Sehubungan itu, Saifuddin Nasution berkata, polis diarahkan untuk mengemukakan laporan perkembangan siasatan kepada Peguam Negara setiap dua bulan seperti diperintah mahkamah.






