
PUTRAJAYA: Syarikat Semantan Estate Sdn. Bhd. (SESB) sekali lagi gagal dalam usahanya menuntut hak milik tanah di Mukim Batu, dikenali sebagai Duta Enclave, selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan syarikat itu untuk merayu keputusan terdahulu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, menolak permohonan tersebut setelah mendapati SESB tidak memenuhi syarat di bawah Seksyen 96(a) dan 96(b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Sebelum ini, pada 24 Jun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan tanah berkenaan kekal sebagai milik kerajaan selepas Kerajaan dan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan berjaya mengetepikan perintah supaya tanah itu dipindah milik kepada SESB.
“Kami berpendapat selepas meneliti semua hujahan dengan terperinci serta meneliti undang-undang dan perlembagaan, permohonan kebenaran oleh pemohon tidak memenuhi ambang keperluan seperti yang ditetapkan.
“Dengan itu, permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu ditolak dengan kos,” kata Hasnah.
Tanah strategik di Jalan Duta itu kini menempatkan Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Dalam keputusan sebulat suara, Mahkamah Rayuan turut mengarahkan pampasan dibayar kepada SESB, yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi dalam tempoh 90 hari dengan bantuan analisis pakar.
Rayuan silang SESB supaya tanah yang diambil semula kerajaan sejak 1956 dipindah milik kepada syarikat itu turut ditolak.






