
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju secara prinsip menerima tawaran syarikat Ocean Infinity untuk meneruskan semula operasi pencarian dasar laut bagi mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet pada 13 Disember lalu.
Katanya, persetujuan itu berdasarkan prinsip ‘tiada penemuan, tiada bayaran’ (no find, no fee) dengan pencarian dianggarkan di lokasi baharu seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi.
“Mengikut prinsip ‘no find, no fee’, kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat ditemui.
“Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang dibuat oleh pakar dan penyelidik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.