Chelsea kebal, Liverpool terselamat kerana penalti
Liverpool memberi tekanan berterusan, namun gagal mencari gol kemenangan dan terpaksa berpuas hati seri 1-1 dengan Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris sebentar tadi.
Reds gagal memanfaatkan kelebihan berdepan 10 pemain lawan di Anfield selepas Chelsea berkampung di kawasan dalam sebahagian besar babak kedua.
Blues mengejutkan tuan rumah apabila mendahului 1-0 pada minit ke-22 hasil tandukan cantik Kai Havertz yang berpunca dari sepakan penjuru.
Jaringan itu memberi keyakinan kepada anak-anak buah Thomas Tuchel sehinggalah malang menimpa mereka pada waktu kecederaan babak pertama apabila Reece James dilayangkan kad merah.
James dilihat menahan bola percubaan lawan menggunakan tangan di atas garisan pintu gol pasukannya untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada Liverpool.
Mohamed Salah tidak berdepan masalah untuk menewaskan Edouard Mendy bagi menyamakan kedudukan 1-1.
Beraksi dengan kekurangan pemain dalam sebahagian besar separuh akhir kedua, Chelsea memilih untuk bermain secara bertahan.
Mendy juga dipaksa berhempas pulas menyelamatkan beberapa percubaan Liverpool, terutama menerusi Salah.
Biarpun mengawal permainan dan melakukan asakan demi asakan tindakan, Chelsea meletakkan seluruh pemain di kawasan sendiri menyukarkan Reds untuk menambah jaringan.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan rentak kemenangan kedua-dua pasukan pada awal musim akhirnya lebur. – AGENSI