SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan empat warga tempatan menyeludup dadah jenis ganja seberat 86 kilogram (kg) bernilai hampir RM8.3 juta ke Manchester, United Kingdom, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 3 November lalu.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, berkata cubaan itu dilakukan oleh dua pasangan lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an dari Johor yang dipercayai diperdaya menjadi ‘keldai dadah’.
Katanya, kegiatan itu terbongkar selepas pihak syarikat penerbangan mengimbas semula bagasi milik salah seorang suspek apabila mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat.
“Pasangan ini datang dari Johor ke Pulau Pinang menaiki bas dan menginap di beberapa hotel sekitar George Town. Mereka dijadualkan berlepas ke Manchester seperti yang dijanjikan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Shuhaily berkata, kesemua suspek masih muda dan bekerja dalam pelbagai sektor termasuk bekerja sendiri, pemandu e-hailing serta pekerja dalam industri minyak dan gas.
“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja atau peluang melancong ke luar negara yang menjanjikan imbuhan lumayan. Tiada yang datang mudah,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan pasangan berkenaan serta dua lagi individu yang telah mendaftar masuk lebih awal.
“Pasangan pertama berjaya menaiki pesawat ke Manchester seperti dijanjikan, namun pasangan kedua hanya menyedari tiket penerbangan mereka sebenarnya berakhir di Singapura,” ujarnya.
Katanya, syarikat penerbangan kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada pegawai AKPS bagi mengiringi pasangan itu mengambil semula bagasi mereka. Pemeriksaan imbasan di kawasan ketibaan menemui objek mencurigakan yang kemudiannya disahkan sebagai ganja.
Siasatan awal mendapati semua suspek menerima tawaran pekerjaan melalui aplikasi TikTok, kononnya untuk membawa barangan sambil melancong dengan bayaran antara RM8,000 hingga RM11,000.
Kesemua suspek kini ditahan di Kompleks Pencegahan Negeri Kastam Pulau Pinang untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Bahagian Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mohd. Shuhaily mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian, khususnya yang melibatkan perjalanan ke luar negara atau urusan dengan individu tidak dikenali.
