
KLANG: “Saya sedar ada orang atas bumbung kereta apabila nampak tangan terkulai dari cermin hadapan,” demikian detik cemas dikongsi A. Meganathan, 42, ketika mengulas kemalangan ngeri yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal.
Mangsa, Amirul Hafiz Omar, 33, maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kenderaan dipandu lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.
Dalam kejadian itu, mangsa tercampak sebelum terjatuh di atas bumbung sebuah Perodua Myvi yang dipandu Meganathan.
Insiden berkenaan turut tular dalam media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.
Meganathan yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berkata, kejadian berlaku begitu pantas.
Katanya, dia hanya menyedari sesuatu yang luar biasa apabila terlihat tangan mangsa terkulai di bahagian hadapan cermin keretanya.
“Mujur saya kekal tenang dan dapat mengelak kenderaan suspek. Jika saya panik, mungkin mangsa yang berada di atas bumbung kereta saya boleh terjatuh,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Menurutnya, sebaik memberhentikan kenderaan, dia terus keluar untuk memeriksa keadaan mangsa, namun mendapati tiada sebarang pergerakan.
Katanya, kejadian tersebut meninggalkan kesan mendalam sehingga dia sukar melupakannya, malah mengakui tidak dapat tidur selama dua hari kerana masih terbayang detik cemas itu.
Meganathan berkata, walaupun berbeza agama dan bangsa, kehilangan mangsa amat dirasai, apatah lagi lelaki itu merupakan bapa kepada tiga anak kecil.
Dalam pada itu, dia turut berdepan kesukaran apabila kenderaan yang dipandunya hanya dilindungi insurans pihak ketiga.
Katanya, kereta tersebut dipinjam daripada rakannya dan tidak boleh dituntut untuk pembaikan, selain kini ditahan di balai polis bagi tujuan siasatan.







