
GUA MUSANG: Suami kepada seorang guru besar direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengintai murid perempuan di tandas sebuah sekolah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, lelaki berusia 60 tahun itu ditahan reman bermula semalam sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menurut beliau, tindakan itu diambil susulan laporan diterima berhubung dakwaan lelaki terbabit melakukan perbuatan mencurigakan di kawasan sekolah berkenaan.
Sementara itu, sumber berkata, suspek didakwa kerap dilihat berada berhampiran tandas perempuan dalam keadaan mencurigakan sebelum tindakannya disedari beberapa murid sekolah terbabit.
Katanya, kejadian pertama dilaporkan berlaku pukul 2.15 petang pada 7 April lalu apabila empat murid perempuan yang berada di kantin terdengar jeritan rakan mereka dari dalam tandas sekolah.
“Mereka mendakwa melihat dua murid perempuan Tahun Dua berada di dalam tandas sebelum ternampak seorang lelaki keluar dari kawasan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut sumber berkenaan, lelaki sama turut didakwa beberapa kali dilihat berada di kawasan surau sekolah pada waktu petang sepanjang awal Mei lalu ketika sesi Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) berlangsung, termasuk mengintai murid perempuan yang sedang mengambil air sembahyang sebelum laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut.





