
KUALA LUMPUR: Malaysia telah membuat bantahan berhubung tindakan rejim Zionis Israel memintas kapal-kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza dan menahan lebih 100 aktivis termasuk 16 rakyat Malaysia yang menyertai misi tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel itu serta menuntut jaminan keselamatan dan pembebasan segera kesemua aktivis.
“Kita sudah buat bantahan,” katanya ringkas ketika ditanya tindakan lanjut kerajaan berhubung insiden tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.
Semalam, Perdana Menteri menegaskan dunia tidak boleh terus tunduk kepada kezaliman dilakukan oleh rejim Zionis.
Beliau juga sedang bekerjasama rapat dengan pimpinan negara-negara sahabat bagi memastikan aktivis GSF yang ditahan rejim Zionis dibebaskan segera.
Anwar berkata Malaysia mendesak agar kesemua aktivis yang terlibat tidak diberikan layanan buruk serta dizalimi.
“Malaysia menuntut agar mereka tidak dizalimi, dihalang hak kemanusiaan atau dikenakan sebarang tindakan tidak berperikemanusiaan hanya kerana membawa suara keamanan dan bantuan kemanusiaan buat rakyat Palestin,” katanya.






