
BANGI: Tiada projek pembinaan awam akan dihentikan atau ditangguh meskipun industri berdepan kenaikan kos bahan binaan susulan krisis bekalan global.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, industri pembinaan merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, justeru semua projek yang telah diluluskan akan diteruskan.
“Mana-mana projek yang telah ditandatangani akan diteruskan, manakala projek dalam perancangan juga akan diteruskan sekiranya ia melibatkan keperluan penting.
“Kenaikan kos ketika ini masih terkawal dan belum memerlukan tindakan drastik seperti menghentikan projek pembangunan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan B.U.I.L.D.E.R.S Industry Forum 2026 (BIFA 2026) hari ini.
Dalam pada itu Nanta Linggi berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah membentangkan strategi kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani cabaran ekonomi semasa.
Katanya, antara isu utama ialah kenaikan kos logistik, pengangkutan dan bahan binaan yang memberi tekanan kepada industri pembinaan.
Mengulas mengenai tuntutan Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP), beliau berkata langkah itu tidak dapat dilaksanakan berikutan memberi implikasi kewangan besar kepada kerajaan.
“Sebaliknya, kerajaan juga sedang meneliti pendekatan perkongsian kos antara kerajaan dan kontraktor bagi mengurangkan beban kenaikan harga sektor pembinaan,” katanya.







