
KUALA BERANG: Kelayakan asas kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU) Online kekal berteraskan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keputusan itu telah dimuktamadkan di peringkat Kabinet sekali gus menetapkan bahawa semua permohonan ke IPTA perlu memenuhi syarat asas memiliki SPM.
“Saya telah menekankan dan memaklumkan sebelum ini bahawa kerajaan serta Kabinet telah membuat keputusan bahawa kemasukan ke mana-mana IPTA mestilah berasaskan SPM.
“Tidak kiralah sama ada seseorang itu belajar di sekolah ini atau sekolah itu, asas kemasukan melalui UPU tetap berpandukan SPM.
“Kita perlu faham bahawa sekolah dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), manakala kemasukan ke universiti pula melalui UPU Online. Dalam UPU Online, syarat yang ditetapkan ialah berasaskan SPM. Kita tidak membuka kemasukan berdasarkan keputusan lain, subjek lain ataupun sijil lain,” katanya .
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Program Kembara Pendidikan Tinggi@Terengganu bersempena majlis penyerahan Kampung Angkat Madani UMT, di sini, hari ini.
Zambry menjelaskan, pihak kementerian, tidak menetapkan kemasukan ke universiti berdasarkan sijil atau sistem lain di luar ketetapan sedia ada.
“Untuk memasuki UPU dan IPTA, asasnya (SPM) tetap sama. Saya fikir itu pendirian yang telah saya nyatakan, namun isu ini telah menjadi kontroversi dalam kalangan tertentu dan ada juga pihak yang merasakan ruang yang diberikan masih tidak mencukupi.
“Bagi saya, apa yang paling penting ialah asas kepada dasar pendidikan kita, iaitu untuk memasuki universiti iaitu asas SPM itu mesti ada,” katanya.






