
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan peningkatan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 yang akan bermula pada 1 Jun 2026 dilihat sebagai langkah strategik yang mampu memperkukuh agenda tenaga mampan negara serta menyokong kestabilan industri sawit tempatan.
Pensyarah kanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmad Muhaimin Roslan berkata, pelaksanaan B15 bukan sekadar melibatkan penggunaan bahan api alternatif, tetapi perlu dilihat dalam konteks lebih besar yang menghubungkan dasar tenaga dan agrikomoditi negara.
“Pelaksanaan B15 menunjukkan bagaimana dasar tenaga dan dasar agrikomoditi boleh saling memperkukuh antara satu sama lain.
“Malaysia mempunyai kelebihan besar dalam pembangunan biodiesel sawit kerana negara memiliki ekosistem industri sawit yang lengkap daripada sektor huluan sehingga hiliran,”katanya.
Beliau yang berkhidmat di Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul berkata, usaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam menerajui inisiatif biodiesel negara merupakan satu langkah yang wajar dihargai.
Katanya, ia kerana inisiatif tersebut bukan sahaja memperkukuh agenda tenaga hijau negara malah membantu meningkatkan kemampanan industri sawit ke arah Malaysia yang lebih lestari.
“Peningkatan penggunaan biodiesel mampu membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap diesel petroleum yang terdedah kepada ketidaktentuan harga global dan risiko geopolitik antarabangsa.
“Walaupun peningkatan daripada B10 kepada B15 dilihat kecil, impaknya amat signifikan apabila diterjemahkan kepada jumlah penggunaan diesel nasional yang mencecah jutaan liter sehari,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, penggunaan biodiesel sawit turut membantu mewujudkan permintaan domestik yang lebih stabil terhadap minyak sawit mentah (CPO) sekali gus mengurangkan kesan turun naik harga pasaran antarabangsa terhadap industri sawit tempatan.
Ahmad Muhaimin menambah, pendekatan itu secara tidak langsung memberi manfaat kepada keseluruhan rantaian industri termasuk pekebun kecil sawit.
“Dengan B15, kita mewujudkan paras minimum permintaan atau demand floor yang dapat membantu mengurangkan kesan kejutan harga kepada petani dan industri hiliran,” katanya.
Mengulas aspek kelestarian, beliau menjelaskan, biodiesel sawit mempunyai profil pelepasan karbon yang lebih rendah berbanding diesel petroleum, khususnya apabila dihasilkan melalui amalan pertanian dan pemprosesan yang cekap.
Katanya, beberapa kajian Life Cycle Assessment (LCA) menunjukkan biodiesel sawit berpotensi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara signifikan berbanding bahan api konvensional.
Beliau turut menyifatkan pendekatan pelaksanaan secara berperingkat sejak B5, B7 dan B10 sebagai strategi yang tepat bagi memastikan kesiapsiagaan industri serta keyakinan pengguna terhadap penggunaan biodiesel.
“Pendekatan berperingkat penting untuk membolehkan industri menyesuaikan diri secara terkawal serta memberi ruang kepada pengguna memahami perubahan ini dengan lebih baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berpendapat Malaysia berpotensi muncul sebagai peneraju serantau dalam pembangunan biodiesel sawit dan teknologi bahan api hijau berasaskan biojisim sekiranya inovasi dan penyelidikan terus diperkasakan.
“Biodiesel sawit perlu dilihat sebagai sebahagian daripada portfolio tenaga boleh baharu negara, bukan sebagai satu-satunya penyelesaian,” katanya.







