
KUALA LUMPUR: Malaysia membantah sekeras-kerasnya keputusan Norway membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal (NSM) atas alasan melindungi keselamatan negara itu, yang disifatkan sebagai unilateral dan tidak boleh diterima.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tanpa sebarang keraguan telah memenuhi sepenuhnya setiap kewajipan di bawah kontrak itu sejak 2018.
“Nampaknya, Norway seolah-olah tidak memberikan layanan dan niat yang sama,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri, Jonas Gahr Støre.
Perdana Menteri menegaskan bahawa keputusan itu akan memberikan kesan serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Selain itu, ia akan membawa implikasi lebih meluas kepada keseimbangan serantau.
“Kontrak yang ditandatangani ialah instrumen yang bersifat penting. Ia bukan sesuatu yang boleh diambil mudah,” katanya.
Beliau berkata, kedudukan mereka selaku rakan strategik boleh terhakis jika pembekal pertahanan Eropah itu beranggapan boleh mengingkari perjanjian tanpa sebarang tindakan.
Kementerian Luar Norway dilaporkan telah menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada langkah negara itu memperketat kawalan eksport.
Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan peluru berpandu anti-kapal (NSM) itu dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.







