
PUTRAJAYA: Menara Kuala Lumpur akan disinari cahaya biru pada malam 18 Mei ini sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026 yang akan diraikan di seluruh dunia pada tarikh yang sama.
Kementerian Perpaduan Negara menerusi kenyataan memaklumkan, inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan LSH Service Master Sdn. Bhd., selaku pengurus Menara Kuala Lumpur.
Katanya, sambutan pada tahun ini membawa tema Museums Uniting a Divided World atau Muzium sebagai Wadah Penyatuan Dunia yang Terpisah yang menekankan peranan institusi muzium sebagai platform penting dalam membina kefahaman, memperkukuh perpaduan serta merapatkan jurang budaya dan sosial dalam masyarakat global yang semakin mencabar.
Pencahayaan berwarna biru itu merupakan simbol sokongan terhadap usaha memperkasakan muzium sebagai institusi ilmu, warisan dan pendidikan.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, kementerian komited memperkukuh sektor warisan dan permuziuman negara agar kekal relevan, inklusif serta dekat dengan generasi muda melalui pendekatan pendidikan, teknologi dan penglibatan komuniti,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai dijemput untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026 dengan mengunjungi muzium-muzium di seluruh negara serta menyertai pelbagai program pendidikan, kebudayaan dan warisan yang dianjurkan.





