
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menggantikan hukuman gantung sampai mati yang dikenakan ke atas seorang bekas penuntut universiti kepada hukuman penjara 40 tahun serta 12 sebatan selepas didapati bersalah membunuh dan membakar kekasihnya yang sedang hamil, dalam kejadian tiga tahun lalu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azman Abdullah, bersama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun, sebulat suara membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan terhadap hukuman Mahkamah Tinggi Klang sebelum ini.
Mahkamah memerintahkan tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 23 Mei 2023.
Dalam penghakimannya, mahkamah mengambil kira faktor usia muda perayu ketika kejadian serta peruntukan di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang memberi budi bicara kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun, selain sebatan minimum 12 kali bagi pesalah lelaki bawah 50 tahun sekiranya hukuman mati tidak dikenakan.
Peguam mewakili tertuduh berhujah bahawa hukuman Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah terlalu berat, manakala pihak pendakwaan pula menyifatkan hukuman tersebut wajar mengambil kira kekejaman jenayah yang dilakukan.
Terdahulu, pada 15 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Klang mengenakan hukuman gantung sampai mati selepas tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan membunuh dan membakar Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara pukul 8.30 malam 22 Mei hingga 8 pagi 23 Mei 2023.
Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.






