
KOTA BHARU: Seorang penuntut kolej dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan membunuh penuntut Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Nurfisya Zulkifly, 19, yang mayatnya ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Ketereh awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad, 19, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Namun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nurfisya di Jalan Pengkalan Piah, Ketereh antara pukul 11.40 malam, 30 April hingga 12.20 tengah malam, 1 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan, jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, Wan Azimah Yaacob, bersama Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah dan Ahmad Naabil Mohamed Asri.
Tertuduh pula diwakili peguam Mohd Alias Ibrahim.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh pengurusan kes bagi mendapatkan beberapa laporan pakar berkaitan siasatan kes berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.
Dalam kejadian pada 1 Mei lalu, mayat mangsa ditemukan di Kampung Padang Simah, Ketereh dengan 61 kesan tikaman di seluruh badan.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat sebelum ini dilaporkan berkata, mangsa ditemukan tanpa dokumen pengenalan diri sebelum identitinya disahkan melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Siasatan polis mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.
Susulan kejadian itu, polis turut menahan reman empat individu termasuk dua warga emas yang juga ibu bapa kepada seorang suspek, namun pasangan terbabit kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.






