
KUALA LUMPUR : Ancaman jenayah siber bukan lagi isu kecil atau terpencil, sebaliknya menjadi krisis keselamatan nasional yang semakin membimbangkan apabila kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia mencecah lebih RM2.7 bilion pada tahun lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail menegaskan landskap keselamatan hari ini telah berubah secara drastik, dengan ancaman yang semakin kompleks, dinamik dan sukar dijejaki tanpa pendekatan baharu yang lebih menyeluruh.
Menurut beliau, cabaran ini tidak lagi boleh ditangani secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan, pakar teknologi, industri dan komuniti keselamatan di peringkat domestik serta antarabangsa.
Menurut beliau, perkara itu antara fokus utama yang diketengahkan menerusi penganjuran PDRM Special Dialogue V 2026 (PSD V 2026) yang menghimpunkan agensi penguatkuasaan, pakar teknologi, pemain industri dan komuniti keselamatan dari dalam serta luar negara.
“Bagi edisi kali ini, PSD V 2026 memberi fokus terhadap pelbagai ancaman keselamatan kontemporari termasuk jenayah siber, penipuan dalam talian, jenayah rentas sempadan, sindiket narkotik, aktiviti e-waste haram dan eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian.
“Program ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara menerusi pendekatan kolaboratif dan penerokaan teknologi keselamatan generasi baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd. Khalid berkata, Selain kerugian akibat penipuan dalam talian yang mencecah lebih RM2.7 bilion, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi berkaitan turut berjaya menumpaskan lebih 110 lokasi e-waste haram menerusi Ops Hazard 3.0.
Beliau berkata, operasi tersebut turut melibatkan nilai rampasan yang melebihi RM582 juta.
“PSD V ini menjadi sebuah wacana diskusi ilmiah yang terangkum dalam usaha membanteras jenayah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, PSD V 2026 diterajui Jabatan Pengurusan PDRM dengan penglibatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG).
Menurut beliau, program tersebut turut dilaksanakan dengan kerjasama strategik Alpine Integrated Solution Sdn Bhd bagi memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara melalui pemanfaatan teknologi keselamatan moden.
Beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran PSD V 2026 menghimpunkan lebih 3,000 peserta termasuk lebih 200 delegasi VIP, selain penyertaan 135 syarikat dari 17 negara menerusi sesi dialog strategik, pembentangan teknikal, bengkel tertutup serta pameran teknologi keselamatan.
Katanya, antara isu utama yang dibincangkan sepanjang program tersebut termasuk ancaman penipuan digital, kejuruteraan sosial (social engineering), ancaman siber semasa, cryptoscam, pemerdagangan manusia dalam era digital, keselamatan maritim serta penggunaan kecerdasan buatan dalam pengurusan sempadan.







