
KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin mengurangkan lagi kuota penggunaan petrol RON95 bulanan di bawah program BUDI95 kepada 150 liter sebulan bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik susulan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik di Asia Barat.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, langkah itu berpotensi dilaksanakan memandangkan program BUDI95 membolehkan kerajaan memperoleh data penggunaan bahan api secara lebih terperinci dan fleksibel.
Katanya, kuota semasa penggunaan petrol subsidi ialah 200 liter sebulan selepas dikurangkan daripada 300 liter sebelum ini.
“Walaupun berlaku pengurangan, kesannya kepada majoriti rakyat adalah minimum kerana data menunjukkan 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.
“Langkah seterusnya ialah 150 liter. Sebanyak 60 peratus daripada populasi menggunakan kurang daripada 150 liter, malah 50 peratus lagi menggunakan kurang daripada 100 liter sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ‘Fireside Chat’ bertajuk Malaysia’s Response to Global Energy Crisis: Build Back Better sempena program AFFIN Market Outlook Conference: Propelling Malaysia Forward 2026 di sini hari ini.
Katanya, usaha mengurangkan penggunaan bahan api penting bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara konsisten kepada rakyat walaupun pada kadar lebih terkawal.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus melindungi golongan berpendapatan rendah dan pengguna motosikal yang dijangka paling terkesan sekiranya berlaku kenaikan mendadak harga bahan api.
“Pengguna motosikal misalnya dianggarkan hanya menggunakan sekitar 50 liter petrol sebulan dan mereka perlu terus menikmati subsidi tinggi bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup,” katanya.
Ujarnya, pendekatan tersebut juga penting bagi memastikan kestabilan sosial dan politik negara, khususnya dalam melindungi golongan rentan ketika keadaan ekonomi semakin mencabar.
Menurutnya, perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan meningkat hampir 10 kali ganda susulan lonjakan harga minyak mentah akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat sejak akhir Februari lalu.
Beliau berkata kerajaan turut merancang mekanisme subsidi diesel bersasar untuk Sabah dan Sarawak, sama seperti pelaksanaan program BUDI95.
Katanya, dalam jangka panjang negara perlu mempercepat pelaburan dalam sistem pengangkutan awam, elektrifikasi serta pembangunan bandar yang lebih padat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap minyak.





