
KUALA LUMPUR: Penceramah bebas, Muhammad Fathi Na’im Mazlam atau lebih dikenali sebagai Fathi Na’im, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah hotel lima tahun lalu.
Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Menurut beliau, keputusan dibuat selepas mahkamah meneliti keseluruhan keterangan saksi pendakwaan serta hujahan kedua-dua pihak sepanjang prosiding berlangsung.
“Mahkamah mendapati keterangan mangsa yang juga saksi pendakwaan ketiga tidak boleh dikategorikan sebagai boleh dipercayai dan meyakinkan,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk mencabar kredibiliti mangsa ketika sesi soal balas.
Katanya, terdapat percanggahan dalam jawapan diberikan mangsa semasa pemeriksaan utama dalam perbicaraan terdahulu di Mahkamah Sesyen Klang berkaitan pertuduhan sama.
“Pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan pindaan dalam kes ini dan tertuduh dilepas serta dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.
Sepanjang perbicaraan, seramai 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk mangsa.
Fathi Na’im didakwa pada 1 Disember 2022 bagi pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah hotel di Jalan Imbi, Bukit Bintang antara pukul 2 pagi hingga 10 pagi pada 3 Disember 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Mohamad Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah, Aqmarul Aqil Ismail dan Azlinie Othman.
Sebelum ini, Fathi Na’im turut berdepan sembilan pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen Klang membabitkan kesalahan rogol, amang seksual fizikal dan persetubuhan menggunakan objek terhadap remaja sama antara Jun 2021 hingga Februari 2022.
Bagi tiga daripada pertuduhan tersebut, dia dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan pada 18 September tahun lalu selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Klang.
Namun, penceramah itu kemudian memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman selepas Mahkamah Tinggi Klang membenarkan rayuannya.
Enam lagi pertuduhan masih berada di peringkat praperbicaraan dan belum ditetapkan untuk perbicaraan penuh.






