
KUALA LUMPUR: Insiden lubang benam di Jalan Wangsa Delima 4, Wangsa Maju dipercayai berpunca masalah kerja-kerja penyelenggaraan utiliti, bukan tanah mendap.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan siasatan bersama semua penyedia utiliti bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau berkata, laluan kawasan lubang benam dengan keluasan empat meter lebar itu ditutup selama dua minggu bagi membolehkan siasatan dan kerja baik pulih.
“Kita ada satu main drain (longkang utama) dengan diameter 1.5 meter serta sump (takungan) di kawasan itu.
“Didapati tembok sump itu pecah dan kita tidak jumpa ke mana runtuhan itu pergi,” katanya pada sidang media Mitigasi Banjir di Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Fadlun berkata, terdapat kemungkinan kerja utiliti menggunakan kaedah Horizontal Directional Drilling (HDD) di bawah tanah menyebabkan struktur tembok sistem perparitan pecah.
Dalam pada itu beliau berkata, DBKL telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu lubang benam atau lubang jalan di ibu kota.
“Dalam banyak kes potholes, ia berpunca daripada paip sewer atau sistem perparitan yang pecah sehingga menyebabkan kawasan bawah tanah menjadi lompong.
“Apabila tanah di kawasan berhampiran jatuh, ia akan menyebabkan potholes kecil atau besar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerja utility mapping di Jalan Masjid India kini hampir 90 peratus siap membabitkan jajaran sepanjang 32 kilometer.
Katanya, DBKL juga akan memasang Settlement Marker dari Semua House hingga Masjid India bagi mendapatkan bacaan pergerakan tanah secara masa nyata untuk membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku mendapan tanah.





