
KUALA LUMPUR : Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku buli yang melibatkan pelatih di bawah seliaannya, termasuk tindakan tegas seperti penyingkiran daripada institusi.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan media semalam berhubung dakwaan kejadian buli di sebuah kampus IPG di Kuching, yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai tahap keselamatan pelajar.
IPGM turut memaklumkan pihaknya memandang serius perkara tersebut dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta individu yang terlibat.
“Kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak IPGM. Tindakan tegas, iaitu hukuman tatatertib buang IPGM akan diambil ke atas mana-mana pelatih yang didapati bersalah,” menurut kenyataan itu.
IPGM menegaskan setiap pelatih guru wajib memiliki disiplin yang tinggi serta mempamerkan akhlak dan sahsiah yang terpuji, selaras dengan peranan mereka sebagai bakal pendidik negara.
Sebelum ini, tular laporan yang menimbulkan keresahan dalam kalangan ibu bapa berhubung dakwaan budaya buli di kampus berkenaan.
IPGM turut memberi jaminan bahawa keselamatan dan kebajikan pelatih sentiasa menjadi keutamaan, selain komited memastikan persekitaran kampus kekal kondusif untuk melahirkan generasi guru yang berkualiti.





