
JOHOR BAHRU: Tiada sebarang perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibangkitkan dalam pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, termasuk Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti .
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sesi menghadap dan fotografi bersama-sama Seri Paduka Baginda dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail di Istana Besar Johor hanyalah sempena sambutan ulang tahun ke-80 UMNO.
Beliau berkata, sesi menghadap dan fotografi bersama-sama Seri Paduka Baginda dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail di Istana Besar Johor hanyalah sempena sambutan ulang tahun ke-80 UMNO.
“Saya bertemu (Agong) tetapi tidak menyentuh langsung mengenai perkara itu, ia satu peristiwa sangat signifikan kerana penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 juga dilakukan di Istana Besar Johor dan sesi fotografi yang sama turut diadakan ketika itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Bangunan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat berkenaan yang berlangsung juga tidak membincangkan mengenai PRN Johor.
“Secara seriusnya, saya ingin menyatakan bahawa ini hanyalah mesyuarat biasa. Walaupun banyak isu nasional dibincangkan, topik PRN Johor tidak disentuh,” katanya.
Menyentuh mengenai kemungkinan PRN Johor diadakan lebih awal daripada Melaka, beliau berkata sebarang keputusan mengenainya hanya akan dibincang dengan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor.







