
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengucapkan tahniah kepada C Joseph Vijay susulan kemenangan beliau dalam pilihan raya negeri Tamil Nadu serta pelantikannya sebagai ketua menteri baharu negeri itu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kemenangan parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi yang dibawa Vijay.
Katanya, agenda berkenaan memberi penekanan terhadap aspek keadilan sosial, keharmonian masyarakat, pemerkasaan belia serta pembangunan moden yang menolak politik bersifat diskriminatif dan memecah-belahkan rakyat.
“PN melihat kemenangan ini sebagai manifestasi sokongan rakyat terhadap pendekatan politik yang lebih inklusif dan progresif.
“Beliau juga mempunyai pengaruh besar di Malaysia khususnya dalam kalangan belia India hasil latar belakang sebagai pelakon selain aktif dalam pelbagai usaha kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, perkembangan politik membabitkan Vijay turut mendapat perhatian ramai memandangkan hubungan sejarah, budaya dan bahasa yang sekian lama terjalin antara rakyat Tamil Nadu dan masyarakat India di Malaysia.
Katanya, kebangkitan politik tokoh berusia 51 tahun itu diperhatikan dengan penuh minat dan keterujaan oleh pelbagai pihak termasuk rakyat Malaysia.
“PN mendoakan beliau berjaya memimpin Tamil Nadu ke arah kemajuan, kestabilan dan kemakmuran yang lebih besar,” katanya.
Semalam, Vijay yang juga bekas pelakon terkenal India Selatan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri baharu Tamil Nadu selepas beberapa parti lain menyatakan sokongan bagi membolehkannya memperoleh majoriti di Dewan Perundangan Negeri.
Dalam pilihan raya berkenaan, TVK memenangi 108 kerusi, kurang 10 kerusi daripada jumlah majoriti mudah sebanyak 118 kerusi bagi membentuk kerajaan sendiri dalam dewan yang mempunyai 234 kerusi.







