
KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp), di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meraikan seramai 762 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara, Sungai Buloh hari ini.
Program Sumbangan Pelajar Cemerlang tersebut merupakan satu inisiatif yang mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memperkukuh modal insan Malaysia selaras dengan kerangka MADANI.
HRD Corp dalam kenyataan media berkata, inisiatif itu mencerminkan nilai-nilai MADANI seperti keterangkuman, keprihatinan dan pemerkasaan dengan mengiktiraf kecemerlangan pelajar di samping menggalakkan pembangunan berterusan melangkaui kejayaan akademik.
Kata kenyataan itu, Ia juga menyokong fokus KESUMA dalam memperkukuh kemahiran, meningkatkan kebolehpasaran dan memastikan rakyat Malaysia kekal berdaya saing dalam ekonomi global yang semakin dinamik.
Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
Hadir sama ialah Pengerusi HRD Corp, Datuk Rusli Jaafar dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz.
Ramanan dalam ucapannya berkata, pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran merupakan teras kepada pembinaan negara.
“Kejayaan pelajar hari ini merupakan asas kepada pembinaan Malaysia yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Sehubungan itu, kita bukan sahaja perlu menitikberatkan kecemerlangan akademik, malah turut memperkukuh keupayaan menyesuaikan diri, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Sementara itu, Shamir berkata HRD Corp komited dalam membangunkan saluran bakat nasional yang kukuh.
“Inisiatif seperti ini memainkan peranan penting sebagai usaha menyantuni dan mengiktiraf kecemerlangan pelajar, di samping memberi galakan kepada mereka untuk terus melangkah lebih jauh dalam pendidikan dan pembangunan diri.
“Selain pengiktirafan, program ini juga menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara Kerajaan dan komuniti bagi memastikan tiada bakat yang tercicir dalam perjalanan Malaysia ke arah pertumbuhan yang inklusif dan mampan,” ujar beliau.
Menerusi inisiatif seperti ini, HRD Corp terus memacu agenda MADANI dengan memperkasa individu, mengangkat komuniti serta membina tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan negara.





