
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 28 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Plaza Tol Duta, Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video tular di media sosial berkaitan kejadian berkenaan.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku pukul 11 malam melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah Toyota Hilux, Proton Wira dan Proton Inspira.
“Siasatan awal mendapati Proton Inspira dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun dipercayai terbabas sebelum berhenti di lorong kanan lebuh raya.
“Selepas itu, sebuah Proton Wira dipandu lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun melanggar kenderaan tersebut sebelum sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun turut merempuh Proton Inspira berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, impak pelanggaran menyebabkan Proton Inspira dan Toyota Hilux terbabas ke bahagian kiri jalan sebelum melanggar penghadang jalan.
“Namun, kesemua pemandu terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, Toyota Hilux mengalami kerosakan pada bahagian bampar belakang, sensor undur, bonet hadapan, bampar hadapan serta tangki air.
Katanya, Proton Wira pula rosak pada bahagian bampar, bonet, lampu hadapan kiri dan kanan serta fender, manakala tahap kerosakan Proton Inspira masih dalam siasatan.
Mohd Zamzuri berkata, polis telah menahan pemandu Proton Inspira bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Antara tindakan yang telah diambil termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), merakam keterangan saksi, melakukan lawatan ke lokasi kejadian serta pemeriksaan dan pengambilan gambar kenderaan terlibat,” katanya.





