
KUALA LUMPUR: Tan Sri Azam Baki akan terus menyumbang kepada negara meskipun tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berakhir secara rasmi esok.
Tanpa mendedahkan perancangan seterusnya, beliau berkata, dirinya tidak akan menyertai bidang politik, namun perkembangan berkaitan SPRM tetap akan terus berada dalam perhatian beliau.
“Saya orang lelaki yang tetap akan bekerja sehingga satu hari dia dikerandakan dalam masjid. Ya, faham-fahamlah maksud itu.
“Saya akan bekerja menyumbang apa yang saya boleh kepada negara, kepada rakyat kerana perkara ini satu kepuasan kepada diri,” katanya dalam Podcast Kolar Hitam Bukan Sekadar Operasi oleh SPRM, yang disiarkan di YouTube, hari ini.
Azam berkata, beliau akan terus mengikuti perkembangan SPRM dan tidak teragak-agak menegur demi kebaikan agensi itu sekiranya perlu.
Menurutnya, beliau juga bersedia memberikan pandangan secara positif dan membina sekiranya tiba masanya untuk bersuara mengenai sesuatu isu.
“Saya tidak akan marah pun (tindakan SPRM yang tidak dipersetujuinya), tetapi jika sudah sampai masa mungkin saya nak bersuara, saya juga akan bersuara dengan memberi pandangan yang baik serta membina.
“Selepas saya bersara, jika perlukan perkongsian pengalaman terutama rakan saya daripada SPRM ini, anak buah saya yang perlukan nasihat, saya sentiasa sedia menyumbang. Saya juga senang, jika anda tanya, saya akan jawab,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya hos adakah beliau akan berkecimpung dalam dunia politik atau menjadi seorang ahli perniagaan, Azam menyifatkan perkara itu tidak akan berlaku.
“(Masuk) politik itu jauh sekali, sebab politik bukan bidang saya.
“Perniagaan pun tidak, saya tidak pandai berniaga. Tetapi yang penting ialah bagaimana kita menguruskan dunia ini.
“Bila saya kata uruskan dunia ini, (maksudnya) uruskan dengan berhemah dan lebih baik, jadi orang berguna kepada masyarakat, diri sendiri dan keluarga. Jika kamu menjadi manusia yang tidak berfungsi langsung ia umpama mayat hidup,” katanya.




