
GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang memperketatkan protokol keselamatan kesihatan di semua pintu masuk negeri itu termasuk lapangan terbang dan pelabuhan susulan penularan kluster hantavirus membabitkan kapal persiaran antarabangsa MV Hondius.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, langkah berkenaan diambil sebagai langkah berjaga-jaga selaras pemantauan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), walaupun setakat ini tiada rakyat negara ini dilaporkan dijangkiti virus berkenaan.
Menurutnya, prosedur kawalan kesihatan di pintu masuk antarabangsa sebenarnya sudah lama dilaksanakan termasuk penggunaan kamera inframerah bagi mengesan individu yang mempunyai simptom seperti demam.
“Protokol ini bukan baharu kerana ia memang sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi, termasuk pemeriksaan menggunakan kamera inframerah untuk mengesan penumpang yang bergejala ketika memasuki negeri ini.
“Namun, kita memperketatkan lagi protokol keselamatan kesihatan dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada semua petugas berkaitan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan terhadap hantavirus,” katanya dalam sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Daniel berkata, risiko penularan hantavirus di Malaysia ketika ini masih berada pada tahap rendah berdasarkan maklumat yang diterima daripada KKM.
Katanya, hantavirus merupakan virus zoonotik dan hanya strain tertentu dilaporkan mempunyai potensi penularan antara manusia.
“Buat masa ini risiko di Malaysia masih rendah, namun kita tetap mengambil langkah pencegahan termasuk meningkatkan keupayaan makmal bagi tujuan pengesanan awal sekiranya berlaku kes berkaitan,” katanya.
Mengulas mengenai kemasukan kru dan penumpang kapal persiaran antarabangsa, beliau berkata semua kapal yang berlabuh di perairan Pulau Pinang tertakluk kepada prosedur kesihatan yang ketat.
Menurutnya, pegawai kesihatan turut ditempatkan di setiap pintu masuk utama antarabangsa termasuk lapangan terbang dan pelabuhan bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan serta sanitasi.
“Semua kapal akan diperiksa termasuk aspek kebersihan dan kawalan jangkitan. Ini merupakan prosedur sedia ada yang dilaksanakan mengikut peraturan kesihatan antarabangsa,” katanya.






