
KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan ancaman serius jenayah seksual kanak-kanak dalam talian yang semakin membimbangkan dan tidak lagi boleh dipandang ringan.
Berdasarkan data operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (MCMC), sebanyak 117 individu berkaitan aktiviti pedofilia dan eksploitasi
seksual kanak-kanak telah ditahan menerusi empat operasi utama sejak 2024 hingga 2026.
Dalam tempoh sama, pihak berkuasa turut merampas lebih 1.4 juta fail digital pornografi termasuk
sekurang-kurangnya 204,934 fail Child Sexual Abuse Material (CSAM) yang disahkan.
Daripada 117 yang ditahan, seramai 101 individu telah pun didakwa di mahkamah.
Trend berkenaan menunjukkan ancaman eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian adalah nyata, tersusun dan semakin serius.
Justeru, melihat kepada skala ancaman tersebut, langkah pengesahan umur dan jaminan umur bagi pengguna bawah 16 tahun bukan lagi soal pilihan tetapi keperluan keselamatan.
Pengesahan umur bertujuan memastikan platform digital mengambil tanggungjawab lebih serius dalam melindungi pengguna bawah umur daripada akses kepada kandungan dan interaksi berisiko tinggi.
Bahkan, inisiatif pengesahan umur bukan bertujuan menghukum atau menyekat kanak-kanak daripada teknologi.
Ia bagi memastikan internet menjadi ruang yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga, platform lebih bertanggungjawab serta akses digital lebih bersesuaian dengan umur.
Keselamatan kanak-kanak dalam talian memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, platform digital, ibu bapa dan masyarakat.







