
JOHOR BAHRU: Semua pemegang MyKad lama tidak diwajibkan menukar kepada MyKad baharu menjelang pelancarannya pada 1 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berpusu-pusu menukar MyKad apabila versi baharu diperkenalkan nanti.
Beliau berkata, tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan semua rakyat menukar kad secara serentak bermula tarikh pelancaran kad baharu berkenaan.
“Memiliki MyKad adalah satu kewajipan, tetapi tidak disebut semua rakyat perlu menukar kad secara serentak. Jadi saya minta jangan berpusu-pusu pergi ke JPN untuk tukar, ambillah sedikit masa.
“Undang-undang tidak mengatakan mulai 1 Jun apabila MyKad baharu dikeluarkan, pemegang MyKad lama wajib terus menukar kad mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatannya ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Stesen Bukit Chagar bagi meninjau projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, pemilikan MyKad diwajibkan bagi individu apabila mencapai usia 12 tahun, dengan ketika ini terdapat lebih 20 juta rakyat di negara ini memiliki kad pengenalan tersebut.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias dilaporkan berkata, MyKad baharu itu akan dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada.
Antara ciri keselamatan itu ialah turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro, kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan dan cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.
Selain Mykad, MyPoCA dan MyTentera turut akan menampilkan versi baharu pada bulan depan.







