
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang melibatkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan 11 negeri sehingga pukul 5 petang ini.
Antara negeri yang dijangka terjejas ialah Perlis, Pulau Pinang dan Kedah membabitkan kawasan Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim serta Bandar Baharu.
Cuaca buruk turut dijangka melanda beberapa kawasan di Perak termasuk Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Batang Padang serta Muallim, manakala di Kelantan melibatkan Kuala Krai.
METMalaysia dalam kenyataannya memaklumkan, Terengganu turut berdepan keadaan cuaca sama melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Kemaman.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut diramalkan berlaku di Pahang melibatkan Cameron Highlands, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Keadaan sama dijangka melanda beberapa kawasan di Selangor iaitu Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang selain Negeri Sembilan membabitkan Seremban dan Port Dickson,” katanya.
Di Johor, kawasan yang dijangka terkesan ialah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Sementara itu, di Sarawak, cuaca buruk dijangka melibatkan Sri Aman, Bintulu iaitu Tatau dan Bintulu serta Miri membabitkan Subis. Di Sabah pula, kawasan terlibat ialah Papar di Pantai Barat selain Telupid dan Beluran di Sandakan.
Menurut METMalaysia, amaran tersebut dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berlaku melebihi tempoh sejam.
“Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” katanya.







