
PUTRAJAYA: Badan Peguam hari ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk mencabar keputusan pihak pendakwaan yang menghentikan prosiding kes rasuah melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Yayasan Akalbudi.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Faizah Jamaludin bersama-sama Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.
Panel berkenaan memutuskan bahawa permohonan dikemukakan Badan Peguam bukan bersifat remeh, sebaliknya melibatkan persoalan yang wajar didengar dan diputuskan dalam prosiding substantif.
“Kes ini sesuatu yang wajar, jarang berlaku dan luar biasa yang memerlukan semakan kehakiman penuh. Kebenaran diberikan kepada perayu untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara yang dipertikaikan. Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 diketepikan.
“Kes ini juga akan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran substantif semakan kehakiman. Tiada perintah mengenai kos,” kata Hakim Faizah dalam keputusan sebulat suara di sini.
Pada 27 Jun 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman atas alasan perkara itu tidak memenuhi syarat ambang bagi semakan kehakiman. Badan Peguam kemudian memfailkan rayuan.
Badan Peguam mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 September 2023, untuk memberikan DNAA kepada Ahmad Zahid bagi 47 pertuduhan melibatkan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Badan itu turut memohon perisytiharan mahkamah bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Persekutuan) adalah tidak sah dan dibuat melangkaui bidang kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara.
Mahkamah sebelum ini memutuskan untuk memberikan DNAA selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa Peguam Negara mahu menghentikan prosiding bagi meneliti bukti baharu.






