
KUALA LUMPUR: Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), Ida Riswana Idris rangkul Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Bisnes Sinar Awards (BiSA Awards) 2026 di sini semalam
Dalam satu kenyataan, Andalusia berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu penghormatan besar kepada seorang tokoh wanita yang telah menabur bakti, memimpin serta mencorakkan perjalanan sebuah jenama yang kini menjadi antara nama paling dipercayai dalam industri umrah, haji dan pelancongan Islamik di Malaysia.
“Anugerah ini bukan sekadar meraikan kejayaan peribadi malah menjadi lambang kepada sebuah legasi kepimpinan yang dibina atas asas amanah, integriti, keteguhan prinsip dan komitmen tanpa jemu.
“Di bawah kepimpinan dan panduan beliau, Andalusia bukan sahaja berkembang sebagai sebuah organisasi, bahkan berjaya membina keyakinan masyarakat terhadap pengurusan perjalanan ibadah yang tersusun, diyakini dan berteraskan nilai syariah,” kata kenyataan itu.
Sejak penubuhan Andalusia, kenyataan itu menambah, beliau dikenali sebagai sosok pemimpin yang bukan sahaja tegas dalam pentadbiran malah dekat dengan denyut nadi masyarakat.
“Ida Riswana telah memainkan peranan besar dalam memperkukuh tadbir urus syarikat, memelihara kepercayaan pelanggan serta memastikan setiap langkah pertumbuhan syarikat berdiri atas nilai profesionalisme dan tanggungjawab.
“Penerimaan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2026 ini juga selari dengan aspirasi BiSA Awards yang diwujudkan sebagai platform menghargai pencapaian usahawan dan pemain industri, di samping memperkukuh jaringan komuniti perniagaan di Malaysia,” kata kenyataan itu.






