
KOTA KINABALU : Enam individu termasuk Timbalan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Datuk Ibrahim Linggam, dikenakan penggantungan keahlian serta-merta susulan dakwaan melanggar disiplin dan perlembagaan parti.
Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, menjelaskan keputusan itu dibuat menggunakan kuasa penuh beliau sebagai presiden berdasarkan Fasal 49.10 Perlembagaan parti.
Beliau yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat turut memaklumkan bahawa lima lagi ahli yang terlibat ialah Ahmad Kanajaan, Hussin Ibnu Hassan, Mohammad Hafeiz Hussin, Sazali Justi dan Sallehudin Kasau.
Katanya, penggantungan tersebut bersifat sementara sementara menanti hasil siasatan lanjut oleh Lembaga Disiplin Pusat berhubung dakwaan berkenaan.
“Fasal 49.10 memberi kuasa kepada presiden untuk menggantung mana-mana ahli yang dilihat menjejaskan kestabilan parti, khususnya dalam situasi konflik dalaman yang boleh membawa perpecahan.
“Langkah itu penting bagi mengelak keadaan parti menjadi kucar-kacir selain memastikan proses siasatan dapat dijalankan secara teratur,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, ini tindakan sementara supaya keadaan tidak terus meruncing dan jawatankuasa disiplin akan menjalankan siasatan sebelum memanggil ahli berkenaan untuk memberi penjelasan.
Beliau turut menggunakan Fasal 52.1 untuk melucutkan beberapa individu yang sebelum ini dilantik sebagai Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) bagi sesi 2025 hingga 2028.
Menurutnya, enam individu yang dilucutkan sebagai AMET ialah Datu Abdul Lalih Abah, Dr Masjidin Datu Moksan, Dayang Norasiken Nonoi, Jamri Sabu, Rusulan Rahaban dan Datuk Edmund J Doudilim.
Katanya, peruntukan itu memberi kuasa kepada presiden untuk membuat pelantikan dan penamatan jawatan dalam struktur kepimpinan parti.







