
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi lima pertuduhan mencabul kehormatan wanita di beberapa stesen pengangkutan awam sekitar ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan pada 27 April pukul 11.45 pagi di pekarangan Stesen MRT Maluri.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan dipercayai terbabit dalam lima kejadian cabul membabitkan mangsa wanita berusia antara 21 hingga 28 tahun.
“Kesemua kejadian dilaporkan berlaku di beberapa lokasi iaitu Stesen LRT Chan Sow Lin, Stesen MRT Maluri dan Stesen MRT Taman Midah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan mangsa yang berbeza.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut,” katanya.
Ujar beliau, pertuduhan terhadap suspek dibuat hari ini selepas kertas siasatan dilengkapkan.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada ketika menggunakan pengangkutan awam serta segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“Polis akan terus mempertingkat rondaan dan pemantauan di lokasi tumpuan awam bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin,” katanya.





