
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Syarul Ema Rena Abu Samah atau dikenali sebagai Ratu Naga, untuk merujuk dua persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berhubung dakwaan dia dinafikan hak mendapatkan peguam ketika disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Mahazan Mat Taib membuat keputusan itu selepas mendapati isu sama ada Syarul Ema Rena ditahan atau sebaliknya masih menjadi pertikaian dan perlu ditentukan melalui perbicaraan penuh.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan permohonan berkenaan tidak memenuhi ambang ditetapkan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Mahkamah turut menetapkan 11 Mei ini untuk pengurusan kes secara e-Review bagi menentukan tarikh perbicaraan.
Terdahulu, prosiding hari ini dihadiri peguam Latheefa Koya yang mewakili Syarul Ema Rena, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud, mewakili Peguam Negara.
Pada 14 Januari lalu, Syarul Ema Rena selaku plaintif memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang di bawah Seksyen 84 akta sama.
Dua persoalan dikemukakan ialah sama ada peruntukan Seksyen 28A(3), (8) dan (9) Kanun Tatacara Jenayah adalah tidak sah atau bercanggah dengan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan.
Dia turut mempersoalkan sama ada sekatan akses kepada peguam bagi individu ditahan, seperti diperuntukkan dalam seksyen sama, merupakan tindakan tidak seimbang dan bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Syarul Ema Rena memfailkan saman pemula pada 26 Februari 2024 dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Dalam saman itu, dia memohon perisytiharan dirinya mempunyai hak di sisi undang-undang untuk diwakili peguam ketika disoal siasat mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009.
Dia juga memohon mahkamah mengisytiharkan penafian hak tersebut adalah menyalahi undang-undang serta bercanggah dengan Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.





