
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu ditahan bagi membantu siasatan pembekuan akaun bank yang dikenal pasti milik syarikat dan anak syarikat peruncit pakaian, Padini Holdings Bhd.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan kes itu masih berjalan dengan 10 individu telah dirakam percakapan manakala 15 lagi akan dikesan bagi tujuan sama.
“Kes masih lagi dalam siasatan,” katanya pada sidang media berhubung pemulangan karya seni berkaitan 1MDB di sini hari ini.
Azam berkata, tindakan pembekuan aset syarikat itu juga masih diteruskan walaupun terdapat permohonan daripada pihak berkaitan supaya aset berkenaan dilepaskan.
Pada 24 April lepas, Padini dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan SPRM telah membekukan beberapa akaun bank yang dikenal pasti milik syarikat dan anak syarikatnya di bawah satu perintah dikeluarkan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 25 April lalu, Padini memaklumkan telah memulakan semakan dalaman susulan pembekuan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya oleh SPRM yang dikaitkan dengan siasatan melibatkan beberapa pihak ketiga di luar kumpulan syarikat dan bukan pekerja, pegawai atau sebahagian daripada pengurusan syarikat.




