
BATU PAHAT: Pemandu van warga emas yang terbabit dalam kemalangan sehingga mengorbankan seorang murid perempuan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, semalam, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap suspek berusia 60 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman bermula hari ini hingga Jumaat.
Permohonan reman dibuat bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, suspek tiba di mahkamah pukul 8 pagi dengan diiringi anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, sebelum dibawa masuk ke kamar mahkamah untuk prosiding reman.
Selesai prosiding 15 minit kemudian, suspek dilihat tenang ketika dibawa keluar dan seterusnya dibawa menaiki kenderaan polis.
Dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam, mangsa, Nur Aini Humairah, 8, murid tahun dua, maut selepas dilanggar dan digilis van dipandu suspek di hadapan pintu pagar utama sekolahnya.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kejadian berlaku hanya beberapa minit sebelum ibunya, Asmilah Tukiran, 37, tiba untuk menjemput mangsa sebaik sesi persekolahan tamat.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mustafa, Parit Sulong pukul 8.35 malam semalam.





