
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan kira-kira AS$2 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk dibawa pulang ke Malaysia menjelang akhir 2027.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dana berkenaan dipercayai melibatkan beberapa individu disyaki masih menyimpan aset dan dana berkaitan skandal 1MDB di luar negara.
“Jadi dalam hal ini, kita nak mengembalikan lagi AS$2 bilion ini dan pada saya satu lagi halangan yang kita kena hadapi, cabaran yang kita hadapi pada masa akan datang dari segi perundangan dan sebagainya.
“Namun demikian, saya boleh katakan bahawa SPRM bersama negara-negara luar mempunyai kerjasama yang baik,” katanya pada sidang media berhubung pemulangan karya seni berkaitan 1MDB hari ini.
Azam berkata, pencapaian SPRM dalam mendapatkan semula RM31.3 bilion atau 74.5 peratus daripada RM42 bilion dana 1MDB yang diseleweng adalah satu pencapaian yang membanggakan.
“Hal itu satu pencapaian yang saya rasa tertinggi setakat sejarah Malaysia. Kesanggupan kami menghadapi cabaran dalam kes 1MDB sejak 3 Julai 2015. Itulah sejarahnya kerana saya yang membuka fail 1MDB.
“Dari 2015 hingga 2025, kira-kira 10 tahun sampailah kes ini dituduh di mahkamah. Jadi, sekarang ialah proses untuk kita bawa duit ini kembali,” katanya.




