
LONDON: Arsenal melangkah ke final Liga Juara-Juara (UCL) buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun selepas jaringan Bukayo Saka membantu The Gunners menewaskan Atletico Madrid dengan agregat 2-1 awal pagi tadi.
Pada musim lalu, skuad kendalian, Mikel Arteta tersingkir di peringkat separuh akhir kepada juara, Paris Saint-Germain (PSG).
Bagaimanapun, jaringan gol Saka pada aksi separuh akhir timbal balik kedua itu memastikan naratif musim lalu tidak berulang kembali.
Bahkan, The Gunners berpeluang meraih kejuaraan berganda UCL dan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang masih terbuka jika terus konsisten mencatat kemenangan.
Dengan kedudukan agregat terikat 1-1 selepas perlawanan pertama, aksi timbal balik di Stadium Emirates bermula dalam suasana tegang dengan peluang jaringan yang terhad pada awal permainan.
Begitupun, Saka menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-44 selepas penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak menepis percubaan Leandro Trossard hasil gerakan menarik yang dimulakan oleh penyerang Arsenal, Viktor Gyokeres.
Arsenal kini menanti sama ada PSG atau Bayern Munich pada final di Budapest, 31 Mei ini.







