
KUALA LUMPUR: Isu yang melanda Negeri Sembilan tidak wajar dilihat semata-mata sebagai konflik politik, sebaliknya perlu difahami dalam kerangka lebih besar yang melibatkan institusi adat sebagai teras utama negeri itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, selagi isu membabitkan institusi adat belum diselesaikan, usaha untuk meredakan kemelut politik di negeri berkenaan akan terus berdepan kesukaran.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata masyarakat, khususnya di luar Negeri Sembilan, perlu memahami bahawa perkara itu berkait rapat dengan sistem adat tempatan yang unik dan tidak boleh dinilai dari sudut politik semata-mata.
“Masyarakat perlu memahami perkara ini adalah mengenai institusi adat. Orang (masyarakat) yang tinggal di luar Negeri Sembilan sukar memahami perkara ini.
“Bagi negeri lain pemimpin tertinggi adalah sultan. Jika di Negeri Sembilan, ada Yang di-Pertuan Besar dan empat Undang Luak (1+4).
“Jadi, saya ingin mengesyorkan satu saja (untuk mesyuarat biro politik Pakatan Harapan (PH) dan UMNO yang dijadual diadakan malam ini) supaya kita terbuka minda untuk memahami isu ini dari sudut krisis institusi adat,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Cawangan Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.






