
PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) secara menyeluruh mulai September ini.
Ia selari dengan penambahbaikan ciri keselamatan MyKad yang dijadualkan pada Jun sebagai langkah memperkukuh kawalan identiti negara dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pelaksanaan itu menjadi titik perubahan penting kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperkemas sistem pengurusan identiti sekali gus memastikan urusan pergerakan rakyat lebih tersusun, pantas dan selamat.
Beliau menegaskan, pengenalan dokumen baharu yang merangkumi kad pengenalan serta pasport dengan teknologi keselamatan terkini adalah keperluan mendesak, mengambil kira landskap ancaman yang semakin kompleks dan keperluan semasa negara.
“Saya percaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia sudah bersedia dengan pelan A dan pelan B.
“Saya menaruh keyakinan tinggi bahawa kita akan dapat melepasi saat bersejarah dengan baik kerana sampai satu tempoh, kita kena mengeluarkan dokumen yang baharu sifatnya, dengan ciri keselamatan yang lebih baik dan kita telah berusaha sekian lama untuk ke arah itu,” katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan KDN di sini hari ini.
Beliau menambah kementerian telah berada selangkah ke hadapan apabila semua prasyarat utama bagi pelaksanaan sistem itu sudah disediakan lebih awal sekali gus membolehkan pengisian maklumat permohonan kewarganegaraan dilaksanakan dengan lebih teratur selaras pindaan Perlembagaan Persekutuan yang telah diluluskan.
Pada Januari lalu, Saifuddin Nasution turut mengumumkan bahawa Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad versi baharu dalam tempoh enam bulan, sebagai sebahagian langkah memperketat keselamatan dokumen pengenalan negara.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan sempadan tidak boleh dikompromi, dan kecekapan sistem imigresen perlu terus diperkasa bagi memastikan kawalan keluar masuk negara berjalan lancar, teratur dan selamat.





