
BANGI : Corak jenayah rasuah kini semakin kompleks apabila pelakunya memanfaatkan teknologi digital, rangkaian terancang serta aliran kewangan merentasi sempadan sekali gus menyukarkan usaha penguatkuasaan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan perkembangan itu bukan sahaja menuntut kecekapan teknikal malah memerlukan tahap profesionalisme, ketelusan dan integriti yang lebih tinggi dalam kalangan pegawai suruhanjaya.
Beliau berkata, cabaran yang dihadapi SPRM tidak lagi terhad kepada aspek siasatan semata-mata tetapi turut melibatkan pengurusan persepsi dan keyakinan awam dalam era digital yang serba terbuka.
Menurutnya, perubahan landskap rasuah yang semakin sofistikated itu menuntut pendekatan lebih strategik, termasuk pemantapan keupayaan teknologi, kerjasama rentas negara serta budaya kerja berintegriti tinggi bagi memastikan usaha membanteras rasuah kekal berkesan.
“Evolusi modus operandi rasuah kini semakin canggih, melibatkan penggunaan teknologi digital, transaksi rentas sempadan serta jaringan yang lebih tersusun.
“Amat penting untuk kita terus memperkukuhkan daya tahan organisasi, meningkatkan kompetensi warga kerja serta mengamalkan budaya kerja berintegriti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) SPRM Tahun 2025 bertemakan ‘Integriti Dijulang, Perkhidmatan Cemerlang’ di Pusat Konvensyen Bangi Avenue di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 233 warga SPRM menerima APC membabitkan 146 penerima dari Ibu Pejabat dan 87 lagi dari SPRM negeri.
Selain itu, sebanyak 33 Anugerah Khas dan dua Anugerah Emas turut disampaikan menerusi Anugerah Ketua Pesuruhjaya (AKPJ) membabitkan 67 pencalonan yang diterima.
Jelas Azam, pencapaian berkenaan membuktikan kecemerlangan berteraskan integriti terus subur dalam organisasi itu, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap SPRM.






