
BANGI: Seorang lelaki mengaku bersalah membuat hantaran jelik menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan serta denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini.
Hakim Firdaus Md Isa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hafiz Haron, 42, selaku orang kena saman (OKS) dan memerintahkannya menjalani hukuman terbabit bermula hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada tiga anak itu dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mohd Hafiz didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana orang menerusi aplikasi TikTok melalui akaun @muhammad.bin.abdu969 pada 7.30 pagi, 11 September 2025.
Hantaran terbabit telah dilihat oleh seorang pengadu di sebuah rumah di Taman Pelangi Semenyih 2, di sini pada 10 malam, hari yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya serta boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atiqah Mohamad Alias memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS.
Mohd Hafiz yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana hanya bekerja di kampung selain perlu menyara ibu yang uzur serta tiga anak.
Semakan mendapati lelaki itu mempunyai rekod lampau membabitkan tiga kes jenayah dan satu kes berkaitan narkotik.





