
LIPIS: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) giat menjalankan kajian pembangunan telaga tiub sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan krisis air pada masa hadapan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kajian itu dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia bagi mengenal pasti sumber air baharu sebagai pelan sokongan sekiranya berlaku gangguan bekalan.
Menurutnya, keadaan cuaca tidak menentu dan taburan hujan yang rendah ketika ini memberi tekanan kepada sumber air negara.
“Cuaca panas dijangka berterusan hingga Ogos dan ini boleh memberi kesan kepada sumber air, namun bekalan air di seluruh negara masih dalam keadaan terkawal hasil usaha semua agensi terlibat,” katanya selepas merasmikan program Selamat Air Raya di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Beliau juga mengingatkan pengguna supaya mengurangkan pembaziran air memandangkan penggunaan semasa adalah tinggi khususnya di Semenanjung Malaysia dan Labuan, Sabah.
Katanya, kadar penggunaan air kini mencecah sekitar 223 liter per kapita sehari, melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu kira-kira 165 liter per kapita sehari.
“Jika masyarakat tidak memainkan peranan, negara berdepan risiko krisis air.
“Justeru, semua pihak perlu bertanggungjawab memastikan kelestarian bekalan air,” katanya.
Sementara itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara melaksanakan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) dengan sasaran capaian sekurang-kurangnya sejuta pengguna sepanjang tahun ini, selain menyalurkan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM104,000 kepada 200 pelajar.





