
KUALA LUMPUR: Kawasan Merdeka 118 bakal menampilkan satu lagi tarikan baharu apabila pusat beli-belah 118 Mall dijadual dibuka kepada orang ramai pada Ogos ini.
Terletak di presint bersejarah itu, pembangunan berkenaan menggabungkan elemen warisan ibu kota dengan gaya hidup moden dan kini berada pada peringkat akhir transformasi.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Datuk Izwan Hasli Ibrahim berkata, Merdeka 118 berkembang sebagai presint bertaraf global serta destinasi baharu yang ikonik di Kuala Lumpur.
Menurutnya, 118 Mall menjadi komponen utama dalam melengkapkan pengalaman presint dengan menghubungkan elemen peruncitan, hospitaliti, budaya dan komuniti dalam satu lokasi bersepadu.
“Dengan kadar komitmen ruang peruncitan melebihi 70 peratus, kami optimis 118 Mall mampu menyumbang kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui penawaran pengalaman bertaraf dunia,” katanya.
Ketua Peruncitan 118 Mall, Sue Wang berkata, pihaknya teruja menyaksikan kemasukan peruncit, jenama dan rakan niaga menjelang pembukaan rasmi pusat beli-belah berkenaan.
Beliau berkata, pemilihan jenama dilakukan secara teliti bagi memastikan kesesuaian dengan identiti unik 118 Mall sebagai nadi kepada Presint Merdeka 118 sekali gus mewujudkan suasana yang dinamik dan mesra pengunjung.
118 Mall menawarkan pelbagai tarikan termasuk Malaysian Artisan District, ruang seluas 80,000 kaki persegi yang mengetengahkan seni dan kreativiti tempatan, selain Makanizm Food Hall yang menyajikan kepelbagaian makanan Malaysia.
Pusat beli-belah berkenaan turut menampilkan The Atmosphere, ruang acara dengan kubah kaca berdiameter 88 meter serta menghimpunkan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa bagi memenuhi keperluan pengunjung.







