
PUTRAJAYA: Pengambilan penjawat awam kesihatan termasuk doktor dan jururawat tidak akan terjejas susulan cadangan penyusunan semula perbelanjaan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekeliruan timbul apabila cadangan penyelarasan bajet disalah tafsir seolah-olah menjejaskan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan.
“Saya nak jelaskan tentang penyusunan semula beberapa kajian semula tentang perbelanjaan. Perubatan, pengambilan doktor baru, jururawat itu tidak terjejas, tak terkesan. Pembinaan klinik tak terkesan.
“Cuma skop hospital yang mewah itu kurangkanlah. Satu, sekolah. Walaupun kepentingan pendidikan kita kurangkan tetapi untuk pembinaan kelas-kelas baharu bagi kemasukan pelajar sekarang tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Kewangan mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah penyelarasan itu sebaliknya memfokuskan kepada pengurangan perbelanjaan berlebihan, termasuk penganjuran kursus dan majlis yang tidak bersandarkan keperluan sebenar.
“Jadi yang kita rasa perbelanjaan besar bagi kursus berlebih sangat itu kalau kursus yang ada dalam negara, hantar dalam negara, tidak di luar negara.
“Kemudian majlis-majlis di hotel-hotel mewah dihentikan, dibuat di kementerian,” katanya.




