
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas kenyataan UMNO Negeri Sembilan yang sedia menjadi pembangkang susulan kemelut politik di negeri berkenaan.
Anwar berkata, kenyataan yang dikeluarkan pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilihat tidak jelas dan tidak wajar diperbesarkan sehingga menimbulkan kekeliruan politik.
“Kenyataan UMNO (Negeri Sembilan) itu belum jelas. Saya tak mahu komen macam itu.
“Cuma sekarang ini kalau isunya institusi raja, saya dengar sendiri daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Jadi isunya tidak berbangkit kerana kita patuh kepada titah raja, minta supaya keadaan stabil dan Menteri Besar teruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, hari ini.
Anwar menjelaskan, kerajaan kekal berpegang kepada prinsip menyokong sistem beraja serta mematuhi permintaan supaya pentadbiran negeri terus stabil.
Terdahulu media melaporkan, UMNO Negeri Sembilan menegaskan, parti itu rela menjadi pembangkang daripada bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri itu.
Jalaluddin memaklumkan pihaknya tidak mahu terpalit dengan kesalahan yang dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, terkait krisis adat dan perlembagaan negeri itu.







