
KUALA LUMPUR: Bintang veteran versatil, Jalil Hamid, meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Taman Alam Megah, Seksyen 28, Shah Alam, pukul 12.30 tengah hari tadi.
Allahyarham berusia 69 tahun.
Pemergian Allahyarham yang nama sebenarnya Abdul Jalil Abdul Hamid disahkan oleh anak kelimanya, Afiqah Jalil.
Menurutnya, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika tidur akibat masalah jantung bengkak.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Al Munawwarah untuk solat jenazah sebelum terlebih dahulu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 selepas solat Asar, petang ini,” katanya.
Allahyarham dilahirkan pada 25 April 1957 di Kampung Kuala Masai, Johor Bahru dan dibesarkan di Felda Cahaya Baru, Masai.
Beliau memulakan kerjaya di Lembaga Pelabuhan Johor pada 1976 sebelum mengikuti kursus seni pentas di Universiti Sains Malaysia pada 1979.
Minat mendalam dalam bidang seni mendorong Allahyarham aktif dalam pelbagai kegiatan seni di Johor sebelum menyertai Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA) pada 1984, sekali gus terus menyumbang dalam bidang seni dan pendidikan.
Sepanjang kerjayanya, Allahyarham banyak menyumbang kepada perkembangan industri seni tanah air dan pernah memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-13.
Terdahulu, Allahyarham dilaporkan tidak dapat menunaikan ibadat haji berikutan masalah kesihatan jantung.
Beliau menerima panggilan menunaikan haji tahun lalu, namun terpaksa melepaskannya kerana tahap kesihatan yang tidak mengizinkan.
Allahyarham sebelum ini pernah meluahkan rasa kecewa kerana tidak berpeluang menunaikan rukun Islam kelima itu selepas sekian lama menunggu, meskipun pernah menunaikan umrah beberapa kali sepanjang hayatnya.







