
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkenalkan tujuh tujahan strategik sebagai teras hala tuju baharu bagi tempoh 40 tahun akan datang.
Ia sekali gus memastikan agensi itu kekal relevan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi dan mobiliti sosial Bumiputera.
Menurut kenyataan media MARA, pelan tindakan bersepadu itu dirangka bagi mengukuhkan peranan MARA dalam bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan walaupun menjangkau usia satu abad kelak.
“Tujahan pertama memberi fokus menjadikan MARA sebagai konglomerat berjaya berteraskan pendidikan dan keusahawanan sebagai asas membasmi kemiskinan serta menjana kekayaan Bumiputera.
“Bagi tujahan kedua pula, ia menekankan pendekatan penyertaan, pemilikan dan penguasaan (3P) bagi memastikan Bumiputera bukan sahaja terlibat malah mampu menguasai sektor ekonomi bernilai tinggi seperti teknologi digital, peralihan tenaga serta kewangan Islam,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, tujahan ketiga menyasarkan peningkatan tenaga kerja mahir dan separa mahir Bumiputera daripada 30 peratus kepada 40 peratus dalam tempoh empat dekad.
Tambah kenyataan tersebut, tujahan keempat memberi penekanan kepada pembaharuan model pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya lebih berdaya maju malah berpotensi menembusi pasaran saham domestik serta antarabangsa.
“Selain itu, tujahan kelima memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem MARA sebagai pusat sehenti bagi menyelaras pendidikan, keusahawanan dan pelaburan secara lebih efektif sekali gus meningkatkan pulangan serta mengurangkan birokrasi.
“Tujahan keenam menumpukan kepada pembentukan usahawan Bumiputera bertaraf global yang mampu menembusi pasaran antarabangsa dalam sektor berpotensi,” jelas kenyataan itu.
Katanya lagi, tujahan ketujuh melengkapkan kerangka itu dengan menegaskan kepentingan integriti, ketelusan dan tadbir urus baik dalam setiap pelaksanaan inisiatif pembangunan.

Sepanjang enam dekad, MARA merekodkan pencapaian signifikan termasuk melahirkan lebih 1.3 juta usahawan, menyokong lebih 357,000 PMKS dan menaja hampir 1.9 juta pelajar.
Dalam perkembangan sama, Akta MARA kini sedang melalui proses penambahbaikan bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan semasa termasuk memperluas mandat dan memperkukuh tadbir urus berteraskan integriti.
Sementara itu, Karnival 60 Tahun MARA bertemakan “Menjunjung Amanah” berlangsung dari 1 hingga 5 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur menghimpunkan pelbagai pengisian melibatkan pendidikan, keusahawanan dan pelaburan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di (WTC) di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.







