
CEBU: Malaysia mencadangkan penubuhan mekanisme simpanan makanan kecemasan serantau dalam kalangan negara ASEAN sebagai langkah memperkukuh jaminan bekalan makanan di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, krisis tenaga yang sedang melanda ketika ini mula memberi kesan langsung terhadap sektor makanan ASEAN.
Katanya, peningkatan harga bahan api menyebabkan kos baja, pengangkutan dan pengeluaran makanan terus meningkat sekali gus menimbulkan tekanan terhadap rantaian bekalan makanan serantau.
“Krisis tenaga kini secara langsung menyumbang kepada ketidaktentuan bekalan makanan. Jika gangguan berterusan, ASEAN berdepan risiko penurunan hasil dan inflasi makanan yang berpanjangan sehingga tahun depan.
“Justeru, keselamatan makanan perlu dilihat sebagai keutamaan strategik serantau,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menggesa menteri berkaitan dalam ASEAN segera meneliti pelaksanaan mekanisme simpanan makanan kecemasan bagi membolehkan penyelarasan dan tindak balas krisis dilakukan dengan lebih pantas.
Anwar turut mencadangkan supaya mekanisme ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve (APTERR) diperkukuh bagi memastikan kestabilan bekalan makanan terus terjamin di rantau ini.
Katanya, kerjasama di bawah APTERR juga perlu diperluaskan melangkaui simpanan beras dengan turut melibatkan aspek keselamatan baja.
Cadangan itu merupakan usaha Malaysia memperkukuh daya tahan ASEAN dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global serta gangguan rantaian bekalan dunia.







